Sunday, 10 April 2011

Kepentingan Sumber Air

0 comments
1. Kegunaan Domestik
Kegunaan Domestik merupakan sektor dominan yang menggunakan air bersih dari bekalan awam. Ia melibatkan penggunaan air di antara 40-60 peratus daripada bekalan air (Nik Fuad, ibid). Antara contoh kegunaan domestik termasuklah untuk air minum, memasak, mandi, mencuci rumah dan kereta, sanitari, menyiram taman serta membasuh pakaian dan pinggang mangkuk. Todd (1970) dalam kajiannya ke atas penggunaan air domestik di Amerika telah membuat beberapa anggaran penggunaan air domestik mengikut penggunaan sehari-hari. Untuk tujuan membasuh jumlah air yang digunakan sebanyak 1%, penyediaan minuman dan makanan sebanyak 5%, mandi 37%, penyiraman halaman 3%, `flushing‘ tandas 41%, basuh pinggan mangkuk 6%, pembersihan rumah 3%, dan penyucian pakaian 4%. Dianggarkan sebanyak 567 l/h diperuntukkan bagi setiap orang di Amerika yang mana 41% daripadanya adalah digunakan untuk domestik (Mather, 1984).
2. Perindustrian
Perindustrian merupakan sektor yang penting terutamanya industri pembuatan. Menjelang tahun 2020, Malaysia ingin menjadi negara industri. Ini jelas berdasarkan kepada terdapat banyak kawasan ladang industri baru. Dalam Rancangan Malaysia Ketujuh (RM7), peruntukan yang besar diberikan untuk membangunkan sektor ini kerana ia merupakan peratus penyumbang terbesar dalam GNP dalam tempoh Rancangan Malaysia Keenam (Jabatan Perdana Menteri, 1991). Pembangunan sektor industri selaras dengan pembangunan air. Ketiadaan air menyebabkan banyak kilang-kilang terpaksa ditutup atau akan mengalami kerugian.
Mather (1984) telah mengkategorikan 6 jenis penggunaan air dalam sesebuah industri. Ia termasuklah penyejukan (cooling), penjanaan kuasa (generation of power), operasi pembuatan atau pemerosesan (processing or manufacturing operation), penyucian dan lain-lain tujuan pembersihan (clean up and other sanitary purposes), tujuan pengawasan kebakaran (fire protection) dan kegunaan lain-lain (miscellaneous). Jumlah penggunaan ini adalah berbeza daripada satu industri dengan industri yang lain. Perbezaan ini bergantung kepada jenis industri, saiz organisasi, kuantiti, kualiti, kos air serta takat proses edaran semula air (Nik Fuad, ibid). Mather (ibid) menjelaskan untuk menghasilkan satu tan besi, memerlukan antara 1,400 hingga 65,000 gallon air dan 0.8 hingga 45 galon air untuk menapis satu galon minyak.
Perkembangan industri yang baik menyebabkan permintaan terhadap air bersih turut meningkat. Permintaan air bagi industri di Semenanjung Malaysia pada tahun 1980 sebanyak 636.4 X 106m3/tahun dan ia meningkat kepada 1340.8 X 106m3/tahun pada tahun 1990. Oleh kerana penggunaan air dalam masa 10 tahun untuk industri hampir dua kali ganda, maka dalam tahun 2000 dijangkakan penggunaan air meningkat kepada 2567.2 X 106m3/tahun (JICA, ibid). Penggunaan air yang banyak oleh industri menyebabkan beberapa syarikat perkilangan terpaksa memproses semula (kitar semula) air untuk jimatkan kos. Antaranya syarikat ICI di Petaling Jaya.
3. Pertanian dan penternakan
Penggunaan air untuk pertanian dan penternakan termasuklah air yang dibekalkan kepada ladang, kebun dan kawasan penternakan haiwan. Kebanyakan air untuk pertanian digunakan untuk tujuan pengairan. Air yang digunakan ini berpunca daripada air permukaan melalui parit ke kawasan kawasan penanaman. Pengairan ditumpukan terutamanya untuk penanaman padi sawah dua kali setahun. Ia menggunakan hampir 80% daripada keseluruhan jumlah air di Malaysia (JICA, 1982c). Untuk tujuan ini beberapa skim pengairan telah dibuat dan yang paling awal di Kerian pada tahun 1880. Ia yang membekalkan air ke sawah-sawah bagi penanaman sekali setahun. Selepas itu beberapa skim pengairan telah dibina bagi menghadapi kekurangan air. Antaranya projek pengairan Tanjung Karang dan projek pengairan Sg. Manik. Beberapa lagi empangan telah dibina untuk menampung program penanaman dua kali setahun. Antaranya Empangan Muda di Kedah, Empangan Kemubu di Kelantan, Empangan Tima Tasoh di Perlis. Sehingga tahun 1980 sebanyak 832 skim pengairan telah diwujudkan di seluruh Malaysia.
Berdasarkan perangkaan pengairan yang telah dibuat oleh JICA (1982e), jumlah purata tahunan permintaan air sebanyak 7 X 109m3/tahun dalam tahun 1980 yang mana ia mengairi kawasan seluas 301,769 ha pada musim utama. Jumlah ini meningkat kepada 8.3 X 109m3/tahun dengan keluasan kawasan yang diairi kira-kira 392,055 ha pada tahun 1990. Peningkatan beras yang meningkat disebabkan pertambahan penduduk menyebabkan keluasan kawasan yang digunakan untuk penanaman padi menghampiri setengah juta hektar dengan jumlah air sebanyak 9.3 X 109m3/tahun.

Hidrologi Dan Sumber Air

0 comments

PENGENALAN

Air merupakan bahan asas kepada kejadian semua benda hidup (Al-Quran, 2000 : Al-Anbiya : 30). Sebagai asas pembentukan kejadian, manusia mengandungi 70% air (Carhart, 1951) manakala bahan organik memerlukan air antara 60 – 70% (Clapham, 1973). Sebagai suatu keperluan untuk semua benda-benda hidup yang terdapat di alam semesta ini, air merupakan suatu elemen yang seiringan dengan perkembangan tamadun manusia kerana pembangunan dan perkembangan masyarakat manusia sangat berkait rapat dengan pengedaran dan ketersampaian air kepada mereka (Ward dan Robinson, 1990). Ahli sains percaya manusia silam pada satu ketika dulu adalah semiaquatic kerana kecenderungannya untuk tinggal berhampiran dengan air. Ini terbukti apabila banyak tamadun lama yang terkenal dijumpai di sepanjang sungai. Sebagai contohnya Tamadun Sumerian di sepanjang Sungai Tigris – Euphrates, Tamadun Egypt di sepanjang Sungai Nile, Tamadun Indus-India di sepanjang Sungai Indus (India), Tamadun China di sepanjang Sungai Huang Ho – Yellow River (China) dan sebagainya (Biswas, 1970).
Air merupakan merupakan satu sumber (resources) yang menjadi perhatian ahli geografi (Chorley and Kates, 1969 : 3). Dalam konteks umum, kajian air merujuk kepada istilah hidrologi yang member fokus kepada kajian ke atas kewujudan/taburan, ciri-ciri dan pergerakan air di dalam atau di antara komponen-komponen fizikal dan biologi dalam alam sekitar (Thompson, 1999 : 1). Taburan air yang unik mengikut ruang dan masa disebabkan oleh satu proses enjin terhebat alam sekitar dikenali kitaran hidrologi. Enjin raksaksa ini berperanan mengerakkan air dalam bentuk kitaran tanpa henti daripada lautan ke atmosfera, ke tumbuhan dan permukaan daratan, ke dalam tanih, ke dalam alur-alur atau reservoir dan balik semula ke lautan. Pergerakan-pergerakan ini dapat menghubung dan memindahkan bahan dan tenaga kepada semua komponen-komponen alam sekitar (bumi) agar ia menjadi satu sistem yang hidup dan dinamik. Interaksi yang tidak pernah putus antara semua komponen alam sekitar dijalankan melalui proses-proses penting seperti kerpasan, sejatan dan perpeluhan, susupan dan larian permukaan.

DEFINISI HIDROLOGI

Hidrologi ialah bidang sains yang mengambil kira AIR di dunia ini, kewujudan, pusingan dan taburan, sifat kimia dan fizik dan t/balas dengan persekitaran termasuk pertalian dengan benda-benda hidup (Ad-Hoc Panel on Hydrology of the Federal Council for Scince and Technology USA)
“Satu sains berkaitan dengan sifat (properties), taburan (distribution) dan Kitaran (Circulation) air khususnya kajian air on the surface of the land, in the soil and underlying rocks dan in the atmosphere (Webster’s Third New International Dictionary, 1661)
Hidrologi adalah sains yang berkaitan dengan proses mengurus kesuburan (replenishment) dan ketandusan (depletion) sumber air di kawasan daratan dunia (Wisler and Brater, 1959)
Kesimpulan : Hidrologi ialah kajian variasi secara ruangan dan masa terhadap komponen kitaran air di daratan, lautan dan atmosfera. Disamping itu ia mengkaji pergerakan dan simpanan air di atas dan bawah tanah, sifat dan proses-proses kimia dan fizikal serta kajian proses-proses biologi yang mempengaruhi simpanan dan pergerakan air serta hubungan dan pengaruhnya dengan persekitaran

DEFINISI SUMBER AIR

Sumber air (water resources) merujuk kepada pengurusan dan kegunaan air terutamanya untuk mendatangkan faedah kepada manusia. Pengurusan air merangkumi penyediaan untuk kegunaan manusia seperti bekalan air, pelupusan sisa, pengangkutan, rekreasi, kawalan banjir dan penjanaan tenaga (Thompson, 1999: 1).
Pengurusan sumber air mesti selaras dengan Deklarasi Dublin (1992)
1. Air untuk rakyat – capaian air yang bersih dan selamat,
2. Air untuk makanan dan pembangunan luar bandar
3. Air untuk pembangunan ekonomi
4. Air untuk alam sekitar – memelihara persekitaran air untuk keselamatan sumber air berkekalan
 
footer